Rupanya Berketurunan Diraja, Pernah Terkenal Sebaris Dato Siti Nurhaliza. Begini Kehidupan Anis Suraya

Kelunakan suaranya mendendangkan lagu popular, Cinta Tersimpul Rapi tahun 1999 meninggalkan kesan mendalam kepada peminat seni tanah air hingga ke hari ini. Biarpun sudah lebih 20 tahun berlalu, aura Tengku Ani Soraya Tengku Abdullah Sulaiman atau mesra di sapa sebagai Anis Suraya ini masih mempersona.

Bukan hanya dikagumi kerana bakat, Anis juga seorang wanita yang penuh kelembutan, sopan-santun dan merendah diri. Pendek kata, peluang bekerjasama dengan figura ini memang sangat menyenangkan.

Memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada tahun 1996, Anis Suraya pernah bernaung di bawah syarikat rakaman bersama penyanyi tersohor negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris dan Liza Hanim pada awal tahun 2000.

Lagu-lagu nyanyian Anis juga bukan hanya ‘hit’ dan meniti di bibir peminat muzik malah dia turut berjaya merangkul gelaran Juara Voice of Asia 2000 sekaligus mengharumkan nama negara di bumi Kazakhstan. Bukan calang-calang!

Sejak awal pembabitan Anis dalam industri seni dia tidak pernah terpalit dengan kontroversi dan mengekalkan imej bersihnya. Walau terkenal dan berstatus kerabat diraja Terengganu namun Anis cukup merendah diri.

Ketika dihubungi Nona baru-baru ini, ibu kepada lima cahaya mata ini terbuka berkongsi susur galur keluarga tersayang.

“Anis merupakan sepupu kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KBDYMM) Tuanku Sultan Mizan Al-Muktafi Billah Shah. Almarhum ayahanda, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Sri Laksamana Raja merupakan bapa saudara kepada KBDYMM Tuanku.

Saya tidak membesar dalam istana namun hubungan sesama keluarga dan 15 orang adik-beradik cukup rapat dan alhamdulillah kami semua dibesarkan di sebuah rumah di Kampung Batu Burok, Kuala Terengganu. Ibu kandung saya Rahemah Awang ialah bekas penyanyi RTM dan penari SUKTRA Terengganu.

Almarhum ayahanda pula pandai bermain gitar, piano dan drum sehinggakan pernah satu ketika dulu mempunyai kumpulan muzik yg diberi nama Starlight Band.

Mungkin dari merekalah minat Anis, Shaharum, Shawn dan ramai lagi ahli keluarga saya yang lain ‘berbunga’ sehingga kini. Walaupun saya tidak lagi dalam industri muzik tanah air namun nyanyian dan muzik sudah sebati dalam diri saya.

Biarpun tidak lagi menjadi kerja seperti dulu, minat saya dalam dunia nyanyian tak pernah padam. Bahkan anak-anak saya sekarang pun dah ada yang menunjukkan bakat seni mereka,” ungkap Anis yang juga kakak kepada pelantun lagu Melodi Hati, Shawn Baharin atau terkenal dengan gelaran Ricky Martin Malaysia.

Difahamkan anak perempuan sulung Anis iaitu Puteri Elisya Farzana yang berusia 14 tahun mewarisi bakat ibunda tersayang dalam bidang nyanyian. Dalam pada itu, Anis turut memuat naik video nyanyiannya di channel YouTube Anissuraya Official sebagai mengubati rindu peminat.

Selepas mendirikan rumah tangga dan bergelar ibu, kelibat jelitawan berusia 41 tahun ini jarang kelihatan di majlis-majlis hiburan. Ketika dihubungi Nona, Anis mendedahkan tumpuannya kini lebih kepada menjaga suami dan anak-anak.

“Alhamdulillah hidup Anis sekarang lebih tersusun. Banyak masa dengan keluarga dan melayan hobi menyanyi sekali-sekala. Perkembangan terbaru, sekarang ni Anis fokus pada kerja hakiki Anis di salah sebuah institusi pengajian tinggi di Terengganu. Baru tak baru pun, alhamdulillah dah 5 tahun Anis berkhidmat di sini.

Selaku Pegawai Kebudayaan, minat dan hobi Anis cukup terisi kerana Anis diberi peluang bergiat aktif dalam seni budaya negeri. Bukan sahaja mengajar kelas vokal, malah turut membimbing pelajar-pelajar bermain alat muzik gamelan melayu, tarian tradisional, koir dan yang terbaru mengurus dan mengendalikan radio internet universiti.

Anis percaya segalanya bermula daripada minat dan kesungguhan mencari sesuatu pembaharuan dalam menongkah arus yang kian mencabar saban hari. Tidak ketinggalan, Anis juga aktif dengan aktiviti persatuan di bawah Pertubuhan Kesenian dan Kebudayaan Kuala Nerus, Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Terengganu (PERTEKUN) dan Koperasi Terengganu.

Rasanya sudah sampai masa untuk Anis menabur bakti kepada negeri sendiri. Walaupun tak seberapa namun pengalaman yang dikumpul terasa rugi jika tak dikongsi. Anis masih lagi aktif menyanyi tapi hanya muncul sekali-sekala di media sosial dengan nyanyian semula lagu-lagu sendiri, nyanyian cover lagu artis-artis baru, product review dan luang masa bersembang dengan followers.”

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*